Bismillahirrahmanirrahim
Pulau Natuna elok rupanya,
Laut biru terbentang indah;
Tamadun Islam pusaka mulia,
Jadi pedoman sepanjang sejarah.
Segala puji bagi Allah Swt., Tuhan sekalian alam, yang dengan rahmat dan inayah-Nya pena ini dapat menorehkan huruf demi huruf hingga terhimpun menjadi sebuah karya. Selawat dan salam tercurah kepada junjungan Nabi Muhammad Saw., cahaya sepanjang zaman, pembawa risalah Islam yang menjadi suluh penerang peradaban umat manusia.
Buku Islam Tamadun dan Tamadun Melayu ini hadir sebagai ikhtiar kecil untuk menyingkap tirai sejarah, mengurai simpul nilai, serta meneguhkan jati diri masyarakat Melayu yang bernaung di bawah payung Islam. Tamadun Melayu-Islam adalah mutiara berharga yang terjalin dari iman dan adab, dari ilmu dan amal, dari sejarah yang panjang hingga menjadi warisan yang luhur.
Dalam helaian buku ini, pembaca akan diajak menelusuri akar tamadun, menyusuri jejak Islam yang memeluk budaya Melayu, dan menimbang-nimbang relevansinya di tengah derasnya arus globalisasi. Harapnya, buku ini bukan sahaja menjadi bacaan ilmiah, melainkan juga cermin diri untuk meneguhkan siapa kita sebagai umat Islam dan bangsa Melayu.
Sebagaimana bidal Melayu berkata, takkan Melayu hilang di dunia, maka dengan memahami tamadun, kita percaya bahawa yang hilang dapat dicari, yang kusut dapat diurai, yang retak dapat diperbaiki. Buku ini saya persembahkan bagi mahasiswa, dosen, peneliti, dan masyarakat luas sebagai bekal untuk menguatkan akar budaya, memperkaya ilmu, dan menumbuhkan adab dalam menghadapi masa depan.
Akhirnya, tiada gading yang tak retak, tiada kerja yang sempurna tanpa cela. Segala kekurangan dalam buku ini adalah kelemahan hamba, sedangkan kebaikan yang ada hanyalah titipan Allah semata. Semoga usaha kecil ini bernilai ibadah dan menjadi amal jariyah yang pahalanya terus mengalir.
Pergi ke masjid di waktu senja,
Hati tenang bersujud syukur;
Tamadun Islam warisan mulia,
Jadi pedoman hidup yang makmur
Natuna, September 2025
Penulis





Ulasan
Belum ada ulasan.